Sabtu, 27 Februari 2010

Ada ape dengan Sambutan MAULIDUR RASUL?

Alhamdulillah..
Akhirnya dengan izin Allah, sempat jua kita meraikan maulid Rasul tercinta Muhammad S.A.w pada kali ini dalam suasana aman dan damai.

Diruangan yang kecil ini ingin kukongsikan satu artikal dari blog seorang teman mengenai Maulidur Rasul..

SABAN tahun kita merayakan Sambutan Maulidur Rasul. Ulama' sepakat harus kita menyambutnya melainkan ada unsur-unsur yang menjadikan ia sambutan yang haram. Seperti hari-hari lain, kita perlu sentiasa diingatkan dengan sesuatu peristiwa agar menjadi tauladan sepanjang zaman. Sebab itu, wujudnya sejarah, arkib untuk kita kembali mengingati peristiwa yang besar dan bersejarah, dan yang paling utama Maulidur Rasul, ia merupakan hari yang paling kita kenangi, ingati dan sanjung setiap tahun. Ia bukan hari ulangtahun raja, ulangtahun perkahwinan, ulangtahun jubli mana-mana organisasi, tetapi hari memperingati lahirnya manusia agung, kekasih Allah, manusia yang memberi syafaat, manusia yang dikasihi para nabi dan rasul sebelumnya. Cumanya, jangan hanya meniti dibibir, berarak keliling jalan, berzanji ditengah kepanasan, diberi anugerah tetapi hanya satu kepenatan berbuat demikian sekiranya tanpa diteruskan dengan amalan yang dituntut oleh Nabi Muhamad SAW.

Ia bukan hari ulangtahun raja, ulangtahun perkahwinan, ulangtahun jubli mana-mana organisasi, tetapi hari memperingati lahirnya manusia agung, kekasih Allah, manusia yang memberi syafaat, manusia yang dikasihi para nabi dan rasul sebelumnya. Cumanya, jangan hanya meniti dibibir, berarak keliling jalan, berzanji ditengah kepanasan, diberi anugerah tetapi hanya satu kepenatan berbuat demikian sekiranya tanpa diteruskan dengan amalan yang dituntut oleh Nabi Muhamad SAW.

Maulidur Rasul adalah satu tanda kita menyintai Rasul SAW. Bukan sekadar semasa hari lahir baginda, bahkan sepanjang hari, setiap detik dan saat kita sentiasa mengingati jerih baginda dan sentiasa menanam dalam jiwa menyintai baginda. Firman Allah yang bermaksud : "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaiti nabi-nabi, para siddiqin, syuhada' dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya". (An Nisa' ayat 69). Baginda bukan untuk dipuja, untuk disembah tetapi sebagai panduan, murabbi sepanjang masa. Hikmahnya, Allah mewafatkan baginda bagi membuktikan bahawa Nabi Muhamad SAW juga rasul, juga pesanan Abu Bakar kepada sahabat baginda agar tidak mendewakan Rasul SAW kerana ditakuti mereka akan sesat sekiranya Rasul SAW wafat dan begitulah yang terjadi di zaman Abu Bakar lah.A.

Baginda adalah pemimpin bagi orang yang taat, benar, ikhlas dalam memperjuangkan dakwah dan Agama Islam. Hanya mereka yang mengasihi Rasul SAW sedar akan kekurangan diri seterusnya sentiasa menjaga tingkahlaku agar tidak mengguris perasaan Rasul SAW. Manusia perlu menganjak perubahan minda agar lebih efektif dan dinamik, pembentukan syaksiah seiring dengan ilmu yang dipelajari agar tidak menjadi 'korban' atau musibah dari ilmu yang dipelajari.

Mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi inspirasi dalam konteks dakwah, sebagai silibus dalam prinsip kehidupan sama ada suka ataupun tidak. Umar Al Khatab pernah ditanya oleh Rasul SAW terhadap siapa yang paling engkau cintai, maka Umar lah.A tidak menyebut Rasul SAW, lalu Rasul SAW menegur dengan sabdanya :"Tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai aku lebih daripada dirinya sendiri". Lalu Umar lah.A menukar pengakuan dengan mengatakan beliau mencintai Baginda melebihi diri sendiri dan sanak saudara. Penghayatan nilai-nilai nabawi inilah yang berjaya membawa watak yang setia, jujur dan beriman dikalangan sahabat baginda. Dengan ini, kita dapat membina seorang insan yang berjiwa kental, beramanah, berbudaya ilmu, berfikiran dinamik, berdaya saing, berperikemanusiaan dan sentiasa menanam semangat roh jihad yang menjadi asas kekuatan Tamadun Islam berkurun lamanya pada masa yang lampau. Semua ini adalah pengajaran yang didapati dari sirah perjuangan dan keperibadian Nabi Muhamad SAW.

Maulidur Rasul, hari yang penuh berakah ini disebut oleh Ibn Kathir dalam kitabnya bahawa "Malam kelahiran Nabi Agung ini adalah satu malam yang penuh berkat, penuh kemuliaan, keagungan, alam yang diterangi cahaya yang indah serta seluruh makhluk bergembira pada saat tersebut. Inilah malam yang tidak ternilai harganya bagi pengikut setia Nabi Muhamad SAW. Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Rasul SAW melalui firman Allah yang bermaksud :"Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi Muhamad SAW dan berilah salam dengan kesungguhan yang nyata". (Al Ahzab ayat 56). Ini merupakan sanjungan Allah terhadap Muhamad SAW dihadapan para malaikat.

Akhirnya, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar mengukuh landasan yang dibina dan ditinggalkan oleh baginda SAW tidak diseleweng dan dicantas serta dihalang oleh mereka yang takut pada perjuangan Islam. Menjadikan kita sebagai pengikut setia yang sentiasa memahami apa yang diperintah dan menjauhi segala larangan baginda dan menghimpunkan kita daripada umatnya di akhirat agar baginda mengaku diri kita adalah sebahagian dari umatnya dan kita minta dijauhkan menjadi mereka yang tidak digolongkan dari umat Muhamad SAW. Nauzubillah min zalik. Perayaan Maulidur Rasul ini adalah tanda kasih sayang kita kepada Baginda SAW dan rasa rendah diri dan terima kasih atas nikmat Islam yang kita rasai sekarang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang memberi penyuluh dan syafaat kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Jadikanlah taubat amalan rutin..

Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya…sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT :

“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)

Maksud Firman Allah SWT :

Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)

Allah SWT juga berfirman:

"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud: 114).

Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;
Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Imam Muslim )

Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya ;

1- Berwuduk

Rasulullah saw bersabda : “Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dasa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya.” (Imam Muslim)

2. Solat fardu, solat Jumaat dan Puasa Bulan Ramadan.

Rasulullah saw bersabda :
"Salat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari." (Imam Muslim)

3. Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyur (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”( Imam Muslim )

4. Tasbih, tahmid dan takbir

Sabda Rasulullah saw : “ Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir ( 33x) di akhiri dengan ucapan lah ila ha illa Allah….. maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. ( Imam Muslim)


Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagai mana pendapat Imam al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha.

Begitulah perancangan Allah yang bersifat al-Hakim ( Maha Bijaksana ) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya. Solat fardu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.

Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.

Jadikanlah taubat sebagai amalan rutin seharian, pohonlah keampunan dariNya dan laksanakanlah amalan fardu sebaik-baiknya. Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita perputus asa dengan keampunan Allah SWT . Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya.

Oleh : Abu Aqil
Sumber : http://pbasmkps.blogspot.com/