Isnin, 27 April 2009

Sekeping rasa..


Di sini ada sekeping rasa
memugar sebuah ilusi

yang mencanai hati

membias seluruh perjalanan

tak terlangkah oleh masa

di hujung kondisi yang begitu panjang


Akukah yang begitu tega

menilai setiap tapak yang berjejak ini

atau sekadar menghiasi taman-taman

yang kian hangat terbakar
di musim dingin


Perjalanan apakah yang begitu panjang

melenguh seluruh langkah yang diatur

antara musim-musim yang berganti

resah dan rimas

bisikan sebuah bicara.


Apakah aku perlu bertukar arah

dalam meniti sebuah titi kehidupan

demi sebuah impian

yang pernah kulakar dalam lembaran semalam

Wanita Bagaikan...

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut.

Rasulullah menyambung kata-katanya lagi, para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu tersebut dari 4 aspek. Pertama: pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu(pada tempatnya). Kedua: semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu,wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga: semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan ALLAH Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang.Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah kerumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil…